Assalamualaikum, ahlan wa sahlan ya Ramadan. sedar ataupun tidak kita telah meninggalkan bulan Sya’ban untuk meraikan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Pada bulan inilah hamba Allah S.W.T. yang beriman akan diuji dengan ibadah puasa. Allah S.W.T. telah menjanjikan ganjaran yang besar untuk hamba-hambanya yang dapat menjalani bulan Ramadan dengan ketakwaan. Oleh yang demikian, sama-samalah kita sebagai hamba Allah S.W.T. sentiasa mengharapkan rahmat & kasih-sayangNya dan memohon semoga dapat beribadah dengan ikhlas dan dapat merebut ganjaran yang dijanjikan.
Ihsan daripada Iluvislam.com
Hadis 1 : Sifat Pemurah
“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.
2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud :Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan.
Hadis 2 : Malam Lailatul Qadar
Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
(al-Bukhari)
1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.
2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut
3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.
4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.
No comments:
Post a Comment